Cukup Sebulan Berkurung.

Semasa tulisan ini...

Saya duduk-duduk di serambi belakang rumah saya  di sini iaitu di Kanada sambil melihat matahari terbenam.  Jam di dinding menunjukkan 7.24 petang.  Masih lagi terang benderang, boleh terasa lagi pancaran terik matahari.  Walaupun sesekali angin sejuk bertiup tetapi masih selesa.  Dengan pakaian woven dua lapis dan selimut yang diperbuat daripada bulu bebiri buat saya amat selesa menghayati suasana petang.

Tenang, nyaman macam tidak ada apa-apa yang berlaku.  

Tiba-tiba tangan terasa gatal ingin menulis tentang isi hati saya di petang ini.

Berita dari Tanahair tentang PKP covid19 juga tidak terkesan sangat dengan emosi saya di sini. 

 Anak-anak juga begitu...Saya fikir saya masih seronok melayan aktiviti sebagai suri rumah yang tertangguh bertahun-tahun.  Rindu yang tak kesudahan sebagai suri rumah.  Alhamdullilah..

Lagipun, sejak saya tinggal di Kanada, saya bersyukur kerana tiada tekanan emosi sekeliling.  Tiada yang perlu sangat dikejarkan.  Tiada sistem pembelajaran yang mengadap peperiksaan besar. Maka, saya  tidak perlu hantar anak tuisyen, kemudian mengadap jem sana-sini.  Pasaraya pun dekat dan orang tidak sesak.  Tidak sampai 30 minit saya boleh selesai membeli barang dapur.  Saya boleh melayan hobi saya di sini.

Itulah kebahagiaan seorang surirumah.

Hanya suami yang saya lihat sangat terkesan dengan keadaan perintah berkurung.

Genap sebulan, dia bekerja dari rumah.  ‘Work From Home’ kata Trudeau.  Perdana Menteri Kanada menegaskan ‘enough is enough, stay home’.  Kita ini sebagai penumpang pencari rezeki di negara orang, kenalah faham-faham.  Biarlah orang lain dengan caranya... kena sedar diri...

Faham sangat, orang yang sudah biasa bekerja dengan suasana pejabat.  Pasti rindu, rindu dengan meeting, rindu dengan kawan-kawan, rindu dengan meja dan kerusi di pejabat.  Itu namanya sindrom pejabat. Walaupun sekejap-sekejap pukul bola di belakang rumah.

Saya fikir tahun ini, musim ini saya hendak bercucuk-tanam.  Ingin mencantikkan laman rumah dengan pokok-pokok yang berakar besar.  Nampaknya ia hanya sebuah angan-angan semata-mata.  Saya sendiri rasa was-was untuk membeli tanah, anak-anak pokok.  Nak  berselisih bahu semasa membeli-belah.  Haish...

Kadang-kadang sahaja, saya terfikir ibu dan adik-beradik di Tanahair.  Hampir setiap hari, saya melihat berita TV3 secara online.  

Dalam diam, saya juga seram sejuk mendengar berita covid19 di Tanahair.

Semoga, mereka sihat-sihat.  Terpelihara dan terhindar daripada virus yang sangat dasyat ini, yang tidak memilih manusia..

Tidak ada kuasa lain yang kita boleh minta selain dariNya.  Aku mohon padaMu perlindungan.  Ampunkan dosaku ya Allah...  

Catatan Harian di Hujung Minggu,


Dengan spek mata... bukan panas tapi terik matahari buat mata jadi sepet.  Cewahh





0 ulasan