Indahnya Menjadi Surirumah











Bercerita berkenaan tentang menjadi surirumah di zaman moden dan milenia ini.  Ramai wanita tidak bersetuju dengan 'statement' saya ini.

Tidak mengapa, saya tidak paksa untuk bersetuju dengan 'statement' saya ini.

Saya ceritakan sedikit sejarah kerjaya saya.

Saya merupakan surirumah sepenuh masa sejak 5 tahun yang lepas. Saya berkelulusan Master in Computer Science dari Universiti Putra Malaysia.  Syukur diberi peluang Allah Taala dapat menyambung pelajaran ke peringkat kedua tertinggi dalam pengajian universiti.  Selepas tamat pengajian ijazah, saya diterima untuk menjadi pensyarah di salah sebuah kolej swasta di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Jodoh hadir selepas 4 tahun bergelar sebagai pensyarah.  Selepas bergelar seorang isteri, jadual kehidupan saya sedikit berubah.  Saya lebih banyak memohon untuk bercuti kerana suami saya bekerja di Terengganu.  Kami jarang bertemu...

Hampir 6 bulan mengalami situasi begitu, saya mula terfikir. Sampai bila saya ingin hidup cara begini.  Suami juga rasa begitu…

Suami telah berusaha untuk mencari peluang bekerja di luar negara.  Bekerja di luar negara bukanlah menjadi satu perkara baru untuknya kerana sebelum dia berkahwin dengan saya.  Dia pernah bekerja di India selama 3 tahun.

Alhamdulllilah, rezeki berpihak pada kami.  Suami saya mendapat peluang bekerja di Doha, Qatar menyiapkan projek pembinaan jalanraya untuk Sukan Asia Doha.

Niat sebenar kami sebenarnya untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.  Walaupun, pemergian kami ke Qatar telah mengurangkan pendapatan keluarga.  Kerana, saya bercuti tanpa gaji sepanjang berada di Qatar.

Namun begitu, saya dapat rasakan nikmat menjadi seorang isteri.  Kelapangan masa dalam beribadah. Ibadah yang saya maksudkan bukan sahaja tanggungjawab seorang isteri.  Tetapi paling menarik sekali, saya ada banyak masa untuk mengaji Al-Quran, menunaikan solat-solat sunat serta dapat menunaikan solat fardu di awal waktu.  Jiwa saya lebih tenang, tiada lagi untuk saya berkejar ke sana ke mari.  Mengejar bas hampir setiap minggu ke Terengganu.

Nikmat yang saya sendiri tidak dapat nafikan.

Jauh di sudut hati, saya tidak menafikan saya sudah mula mencintai dunia seorang Surirumah tangga.

Setahun lebih di Qatar, kami pulang semula ke Malaysia.

Suami menyambung kerja di tempat lama, saya pula menyambung kerjaya saya.  Tetapi kali ini, saya mendapat peluang yang lebih baik.  Di hantar bertugas oleh pihak kerajaan Selangor di UniSel.

Kami mengulang semula kehidupan seperti sebelum ke Qatar. Tetapi kali ini, suami yang lebih banyak bercuti kerana kami sudah ada anak masa itu.  Maka, tidak sesuai lagi untuk saya travel seperti dulu dan setiap minggu mengejar bas ekspres.

Hati saya benar-benar tidak gembira tetapi saya diamkan sahaja.  Saya sentiasa berdoa semoga Allah memakbulkan permintaan saya untuk menjadi seorang Surirumah seperti mana semasa tinggal di Qatar.

Dan, pada satu hari saya diperkenalkan kepada seorang rakan tentang perniagaan produk kesihatan dan kecantikan diri.  Saya sudi mendengar peluang perniagaan ini.

Benar, saya berani membenarkan diri kali ini berkecimpung secara serius dan sepenuh masa dalam perniagaan selepas mendapat izin daripada suami.  Saya berterima kasih kepada suami kerana memberi peluang.

Di situ, saya berjanji untuk membahagikan masa dengan sebaik-baiknya antara keluarga dan perniagaan.

Namun, lama kelamaan… saya lihat saya semakin sibuk ke sana-ke mari.  Hampir 10 tahun saya berkecimpung dalam perniagaan ini.  Bukan tiada cabaran dan dugaan, tersangat banyak.  Namun, saya selalu memujuk hati bahawa ini semua asam garam dalam perniagaan.  Dan, pasti suatu hari nanti ia menjadi sebuah pengalaman yang sangat berharga dalam hidup saya.

Kesungguhan saya dalam perniagaan memang benar-benar saya kecapi.  Saya pernah mencapai pencapaian tertinggi dalam syarikat.  Dan, sebenarnya saya masih menunggu untuk mencari masa yang banyak untuk bersama keluarga tersayang.

Sehinggakan pernah sekali.  Saya berada di Bangkok, suami pula bekerja di Korea Selatan dan anak-anak di Malaysia bersama pembantu rumah.  Kami ber 'video call' antara 3 negara.  Saya ke Bangkok kerana mengikuti mesyuarat dan seminar bersama syarikat.

Selepas habis 'video call', saya melihat sekeliling bilik hotel tempat penginapan saya selama 3 hari ini dengan pandangan kosong.  Bilik hotel yang mewah dan cantik tetapi saya berseorangan diri.  Berdiri di luar tingkap melihat persekitaran Bandaraya Bangkok yang sangat sibuk.  Melihat manusia berlari ke sana ke mari, mengejar pelbagai perkara.  Saya sendiri tidak tahu apa yang saya cari dalam perniagaan ini.  Kegembiraan atau kemewahan ataupun pujian daripada manusia.  Itu bukan niat sebenar saya….

Saya rindu untuk menjadi surirumah seperti mana di Qatar dahulu.

Cabaran utama saya

"Adakah saya sanggup meninggalkan apa yang saya usahakan selama hampir 10 tahun ini?"

Buat pertama kalinya, selepas bertahun-tahun tidak menunaikan solat tahajjud.  Saya bangun di tengah malam menguatkan diri mengadu padaNya.  Tidak ada tempat lain yang paling tepat untuk saya mengadu padaNya.  Pada saat itu saya rasakan Tuhan benar-benar berada dihadapan saya mendengar setiap detik hati saya.  Tanpa bicara di mulut hanya sekadar di hati tetapi saya sangat tenang pada malam itu.

Dia mendengar setiap bicara hati ini.  Allahuakbar...Malu sangat denganNya.  Terasa diri ini sangat sombong, riak...Tetapi Dia masih sudi menjentik hati saya, memilih diri ini untuk bangun pada malam itu bersujud memohon keampunan padaNya.

Dia benar-benar perancang yang hebat… SubhanaAllah.

Kini,  saya merupakan seorang surirumahtangga yang berkerjaya dari rumah.

Syukur, syukur, syukur Alhamdullilah...

Begitulah ceritanya …..

Catatan Harian seorang blogger
dari Tanah Subur Kitimat, BC, Kanada 😊

0 ulasan